Bambang Pamungkas dilahirkan di Salatiga, Jawa Tengah pada 10 Jun 1980. Walaupun hanya berketinggian 170cm, pertahanan lawan yang memandang rendah keupayaannya pasti menerima padah kerana ketinggian lompatannya dan ketepatan tandukannya. Pemain ini mengagumi kehebatan rakan sepasukannya di dalam pasukan kebangsaan Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto.
Sebelum mewakili pasukan senior Indonesia, Bambang telahpun mewakili pasukan remaja Jawa Tengah dan pernah dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan (MVP) Piala Haornas, piala khas untuk remaja. Bambang juga pernah menjadi penjaring terbanyak skuad Indonesia di kejohanan Piala Asia Bawah 19 Kumpulan V, dengan 7 gol. Dengan segala pengalaman di peringkat remaja, tidak hairanlah penyerapan beliau ke skuad senior tidak menghadapi masalah.
Penampilan pertama Bambang bersama skuad senior kebangsaan adalah pada 2 Julai 1999 dalam satu perlawanan persahabatan menentang Lithuania di Vilnius. Bambang yang ketika itu baru berusia 18 tahun telah berjaya menjaringkan satu gol dalam perlawanan yang berkesudahan seri 2-2.
Bambang menjaringkan 24 gol pada musim pertamanya di liga Indonesia walaupun pasukan yang diwakilinya Persija Jakarta gagal ke perlawanan akhir. Walaupun masih muda belia,cita-cita tinggi Bambang untuk memajukan diri dalam bola sepak terbukti di mana sebaik sahaja musim liga Indonesia berakhir, beliau terbang ke Eropah mencuba nasib.
Menurut ejen Bambang di Eropah, Anthony van Dalen, terdapat beberapa kelab Eropah yang berminat mencuba beliau, seperti Roda JC Kerkrade dari Belanda, dan FC Koeln serta Bayern Moenchenladbach dari Jerman. Namun Bambang tidak terburu-buru, malah membuat keputusan menyertai EHC Norad, sebuah kelab Divisyen 3 Belanda. Keputusan ini ada hikmahnya kerana di kelab kecil seperti ini, beliau dijamin tempat dalam kesebelasan utama berbanding tempat di bangku simpanan jika Bambang memilih beraksi untuk kelab yang lebih besar.
Sayangnya, jodoh Bambang bersama EHC Norad tidak lama. Masalah keluarga dan kegagalan beliau memyesuaikan diri dengan cuaca sejuk Eropah menyebabkan beberapa bulan selepas itu, EHC Norad meminjamkan Bambang kembali pada kelab asalnya Persija Jakarta sebelum kedua-dua pihak menamatkan kontrak atas persetujuan bersama.
Setahun kemudian, Bambang menjadi penjaring terbanyak dengan 7 gol (termasuk 1 gol yang membenam Malaysia di separuh akhir) sekaligus membantu Indonesia menjadi naib juara Piala Tiger 2002.
Sehingga penampilan terakhir beliau untuk Indonesia pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2006 menentang Sri Lanka pada September 2004 yang lalu, Bambang telah menjaringkan 18 gol dalam 35 penampilan.
Namun masalah kecederaan serta prestasi menurun (kali terakhir Bambang menjaringkan gol untuk Indonesia adalah pada 12 Februari 2004) menyebabkan beliau tersisih dari skuad Piala Tiger Indonesia 2004. Ketika rakan-rakan skuad kebangsaan berjuang di Piala Tiger, Bambang menandatangani kontrak menyertai Merah Kuning.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar